Yayasan Seniman P. Ramlee jaga
kebajikan penggiat seni
KUALA LUMPUR — Kerajaan akan mewujudkan Yayasan Seniman P.Ramlee
untuk menjaga kebajikan penggiat seni dan membantu mereka menjalankan kegiatan
masing-masing, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr
Rais Yatim.
Beliau berkata apabila seorang penggiat seni sakit, kadangkala
tidak ada sesiapa yang menghulurkan bantuan sedangkan lakonan mereka diminati,
seperti yang berlaku kepada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
"Oleh itu, harus kita wujudkan satu kemudahan atas nama
seniman agung itu, bagi membolehkan penggiat seni menjalankan kegiatan seni
tidak kira sama ada penggubah lagu, pelakon, penyanyi atau mereka yang bergiat
dalam seni mempertahankan diri,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari
Seniman di Astaka Tasik Titiwangsa malam ini.
Rais berkata sebagai permulaan, yayasan itu menerima peruntukan
RM1 juta dan daripada jumlah tersebut, RM500,000 adalah sumbangan Yayasan
Al-Bukhary manakala bakinya daripada kerajaan.
"Ini hanyalah sebagai pendayung utama (penaja)... kita akan
cari pendayung lain dan saya akan cadangkan setiap penyumbang akan dipohon
dikecualikan daripada cukai pendapatan,” katanya.
Selain itu, Rais mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi penubuhan
Kursi P.Ramlee di Pusat Penyelidikan Kecemerlangan dan Kesarjanaan dalam Bidang
Artistik, Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara) khusus untuk penyelidikan
berkaitan bidang seni serta warisan.
"Aswara akan menyediakan kemudahan akademi dan praktikal bagi
mengasah bakat seni dan budaya supaya industri kreatif Malaysia muncul sebagai
penjana utama kepada negara,” katanya sambil menambah adalah penting untuk
menyemai seni dan budaya di kalangan rakyat bagi mewujudkan tamadun yang
membentuk masyarakat berbudi bahasa.
"Sekiranya di sekolah-sekolah, universiti dan maktab kita
lupa tentang dunia seni (seperti) tarian, kita akan menjadi bangsa yang
kering-kontang tanpa kebolehan untuk menguasai sesuatu yang cantik dan indah.
"(Jika) Kita tidak boleh menikmati keindahan, kita akan jadi
manusia kasar, pendemonstrasi, jadi orang yang tidak kenal budi bahasa, tidak
cintakan seni, justeru, penting pada semua institusi mendidik kita ke arah seni
budaya yang boleh dijelmakan kepada industri kreatif,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 42 penggiat seni dan budaya menerima
Anugerah Tokoh dalam pelbagai bidang.
Selain itu, tujuh anak seniman yang cemerlang dalam peperiksaan
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sumbangan sebagai galakan untuk terus
cemerlang dalam pelajaran. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment