Friday, March 23, 2012

PM lancar pakej pelancongan bermotosikal promosi Malaysia

KUALA LUMPUR 23 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan pakej pelancongan bermotosikal “Five-Mountain Motorcycle Tour” untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang unik untuk kembara motosikal.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa pakej itu akan mendapat sambutan hangat di kalangan penggemar motosikal warga asing kerana ia menawarkan laluan-laluan dengan pemandangan indah, persekitaran pengembaraan menakjubkan dan cuaca cerah dan nyaman di negara ini.

"Pada hemat saya pakej pelancongan ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik untuk mempromosi Malaysia sebagai sebuah destinasi pengembara motosikal yang paling unggul di rantau ini.

"Tentu sekali mengambil kira Malaysia ini merupakan bumi bertuah yang dianugerahi dengan segala keindahan alam semulajadi, maka sudah tentu apabila kita kembara seperti ini, kita akan dapat banyak pengalaman manis seperti perjalanan ke Genting Highlands, Bukit Fraser, Cameron Highlands, Bukit Larut dan Gunung Jerai,” katanya.


Turut hadir pada majlis itu ialah bintang program Amerika Chopper, Discovery Channel, Paul Teutul Sr.

Pakej pelancongan itu, usaha sama antara World Tour Rider dan beberapa agensi yang menawarkan pelancongan kembara motosikal, menawarkan lima pakej pelancongan motosikal antara lima hingga 12 hari, untuk mempromosikan pemandangan indah di kawasan pergunungan di Malaysia dan destinasi pelancongan menarik yang lain. – BERNAMA

No comments: